Berkawan Dengan Api
/
0 Comments
Kawan dari Alam Ghaib
“Zura, kau
tahan ke hidup macam ni?”
Aku menoleh
ke arah Rina di sebelah. Sambil tangan terus menggosok baju senior yang
berlonggok umpama bukit, dengan tenang aku menjawab.
“Apa lah
sangat setahun dua kena paksa cuci baju, nak dibandingkan 12 tahun hidup didera ayah sendiri.”
Sudah 2 bulan arwah ayah meninggalkan kami bersama sejarah hitam sebatan
tali pinggang dan caci makinya. Apabila umurku menganjak ke 13 tahun,
berbekalkan keputusan UPSR yang cukup makan, aku dimasukkan ke asrama. Disini
aku bertemu dengan Rina.
Dia Rina. Wajahnya pucat. Putih. Rambut pendek paras bahu. Berpakaian baju
kurung putih dan sebaya dengan aku. Pertemuan kami yang pertama pada malam
kedua kami di asrama ini. Dia duduk di bangku hadapan bdaminton court sambil
teresak-esak menangis.
Peliknya, tiada seorang pun yang perasan akan kewujudannya. Kecuali aku.
Nak kata aku ada ‘sixth sense’ boleh nampak makhluk halus, rasanya Rina
lah yang pertama makhluk yang aku dapat nampak.
***
“Assalamua’laikum,” salam aku tak berjawab. Gadis itu tertunduk duduk
dibangku padang bola jaring dan berbaju kurung putih. Memandangkan aku baru
sahaja mendaftar masuk ke asrama ini, aku teruskan juga usaha untuk mendekati
dia. Aku perlukan teman.
“Awak pelajar baru sini juga ke? Mana kawan awak yang lain?” Dengan
perasaan ingin tahu aku bertanya.
Manja suara dia memadam gentar dan seram.
***
Aku mula perasan lama-kelamaan yang Rina ini sebenarnya tak wujud di alam
realiti. Mungkin roh yang terperangkap di asrama ni. Atau macam orang tua kata,
jelmaan syaitan. Tapi, syaitan sepatutnya jadi musuh aku. Bukan berkawan dengan
aku.
Sejak dari hari
itu, aku dan Rina jadi kawan rapat. Memandangkan kami masing-masing susah mencari kawan, terutamanya
Rina sendiri yang menghuni dunia lain, aku tak kisah kalau orang melabel aku
gila bercakap seorang diri dan menjauhkan diri dari aku. Kerana dalam dunia
dimana kasta senior dan junior menghalalkan pembulian dan menafikan kasih
sayang, tiada sebab untuk aku mencari kawan lain.
Rata-rata mereka seperti
Rina, cukup benci kepada senior yang kuat membuli dan mendera pelajar junior.
Setiap kerja yanbg dipaksa mereka lakukan dengan tidak rela. Lain aku, aku tahu
ini sebahagian ‘survival’ aku dalam dunia kejam realiti. Fokus aku,
belajar. Selagi kakak-kakak senior tak ganggu pelajaran aku, aku tak kisah
menurut perintah. Kerana itu aku disisihkan rakan junior, kecuali Rina dan
seorang lagi rakan sebaya aku, Mira.
“Kalau Kak Eton suruh kau jilat kaki dia, kau ikut lah? Kau ni tak ada hati
dengan perasaan ke?”
Dah lali aku dengar. Alah, kau mengomel, mengadu macam mana pun, aku bukan
boleh buat apa-apa dengan tubuh kerdil aku ini. Tak ada guna aku melawan.
Tapi dah 2 minggu aku disini, satu soalan bermain-main dalam kepala aku
tentang Rina. Aku masih tak tahu kisah sebenar dia. Tentang kenapa dia terus
ada di sini?
“Aku sama nasib macam kau. Cuma aku lagi teruk..” Wajah Rina tunduk
memandang lantai. Sebak mungkin.
“Kau dapat ayah macam ayah aku?” Aku tak fikir orang yang sama nasib macam
aku akan dapat belai kasih dan sayang insan yang sepatutnya dia mampu percaya
dan akan terus menjaganya.
“Ya. Dan aku juga budak baru kat asrama ni sebelum aku mati.” Perbualan
yang sepatutnya terasa janggal bila seseorang becerita tentang kematian dia
sendiri, tapi tidak pada aku.
Rina terus menyambung cerita. “Macam biasa, tiap malam kes ragging,
kena suruh buat itu ini. Dan pada satu malam tu....”
“BODOHHHH!!!!”
Terhenti, aku dan Rina. Pekik tengking kedengaran dari jauh. Diselangi
suara seseorang menahan kesakitan.
Aku pandang wajah Rina seperti ketakutan. Jarinya menggeletar, bibirnya
pucat, dan dahinya berpeluh. Seakan ada trauma yang membeban kepala dia.
Aku meninggalkan cucian-cucian tadi. Kami bergegas ke arah punca suara.
Kami di tingkat 2, pantas menaiki tangga ke tingkat 3 hanya untuk melihat
seorang rakan asrama yang rapat dengan aku, Mira terbaring lemah. Lebam di muka
dan penumbuk yang diusap-usap Kak Eton, senior taikun besar asrama kami. Dua
minggu aku disini dan ini pertama kali tahap amarah Kak Eton sampai begitu
sekali. Sampai terlentang lemah Mira menahan perit luka dibelasah.
“Lain kali, nak tunjuk kepala besar, tunggu kami keluar asrama ni dulu. Nak
hidup dalam setahun lagi, ikut cakap. Faham tak junior tak sedar diri!” Kak
Ecah, orang kanan Kak Eton turut ada disitu.
Penghuni asrama lain mengerumuni lokasi pergaduhan. Sekali sekala ada yang
memandang aku, sempat lagi berbisik mengumpat. Sedang Mira dilantai lemah tak
dibantu.
“Aku mati di tangan orang macam perempuan gemuk ni! Dia! Dia patut dapat
balasan!” Jerit Rina yang hanya aku dapat mendengar.
“Eh, Rina, sabar. Apa yang jadi sebenarnya?” Aku cuba menenangkan rakan
alam ghaib aku.
Perlahan Rina menoleh ke arah aku, memandang tepat mata aku, dia membuka
mulut, “Hanya sebab aku bangkit pertahan hak aku sebagai manusia yang hanya
mahu tenang, mahu cinta, aku dibelasah sampai mati. Pembunuh-pembunuh tu, macam
mereka dihadapan kau ni!”
Dalam marah, air mata membasahi pipi Rina. Dengan pandangan tajam dia terus
memandang aku, “Kau mesti selesaikan semua ni! Kau mesti ajar mereka!”
Rina?? Apa maksud kau??
“Kau kena pertahankan kawan kau.
Ambil kayu tu! Kau kena buat apa yang patut kau buat!” Jari Rina dituju kepada
sebatang kayu daripada kaki meja yang tercabut, terbaring ditepi kaki katil tak
berapa jauh dari Kak Eton.
“Tapi Rina, ini kerja gila! Aku takut kes ni jadi lagi berat kalau aku cuba
melawan. Kita tak perlu guna kekerasan. Itu kayu keras, Rina. Ada orang boleh
terbunuh nanti...”
Belum sempat hujah aku habiskan...
DUSHHHH!!!
“Ini makan dia! Kalau kau dengar cakap aku tadi, tak ada kau dapat penumbuk
aku ni!” Sekepal lagi tumbukan Kak Eton singgah ke pipi bulat Mira. Aku nampak
mulut Mira berdarah. Giginya berpisah dari gusi!
***
“Kalau kau dengar cakap aku suruh beli rokok aku tadi, tak ada kau dapat
penampar aku ni!!”
Ayah, bermisai tebal, berambut kerinting, berjambang tak
terurus. Dia berdiri garang dihadapan aku yang terbaring menahan sakit ditampar
beberapa kali kerana keengganan aku menurut katanya.
Bukan sengaja aku melawan,
ayah ada penyakit jantung. Aku tak mahu dia terus rosakkan kesihatan dia dengan
batang-batang rokok yang dia bazirkan duitnya. Sedang duit itu boleh sahaja dia
belanjakan untuk makan minum keluarga dan pelajaran aku.
“Abang! Cukup lah tu, bang.. Zura tu anak kita..” Ibu disebelah aku melutut
dihadapan suaminya, merayu belas keatas jasad lemah aku.
“Kau diam!!”
Ayah menarik aku dari ibu, tangan kirinya dihayun dan menampar-nampar bahu
aku sekuat hatinya.
“Ayah! Sakit!!!” Dan tiada lagi cinta pada lelaki itu berbaki lagi.
***
ARGGHH!! Aku tak dapat terima lagi! Manusia kejam mesti mati macam ayah
aku.
Mati.
Kak Ecah perasan aku berlari mendapatkan batang kayu yang ditunjukkan Rina
tadi.
“Kau nak buat apa tu, hoi! Dasar perempuan mental!” Kak Ecah mengejar aku
dari belakang.
Aku tak peduli.
“Jangan takut Zura. Perempuan tu takut dengan kau!” Rina menyokong aku.
Dengan jelingan kebelakang aku dapat melihat riak risau Kak Ecah. Haha!
Hanya fikiran kita sendiri yang membuat kita takut dengan yang bertakhta selesa
diatas. Padahal mereka sama penakut macam kita!
Dengan sekali hayunan kebelakang, kayu yang aku pegang singgah ke kepala
Kak Ecah. Dia tak sempat mengelak. Rebah tidak sedarkan diri selepas dihempuk
pembalasan aku atas dosanya keatas Mira, dan pelajar junior yang lain.
“Seorang lagi Zura.. Seorang lagi..” Bagai dipukau Rina, aku menoleh pula
ke arah Kak Eton.
Kak Eton yang menyaksikan kejadian tadi kini duduk terjelepuk bersandar ke almari besi asrama. Dengan
pandangan matanya yang berisi penuh ketakutan, aku balas ia dengan senyuman
menyeringai aku. Kelakar! Gajah samseng kini rebah macam kambing diikat. Tunggu
disembelih korban!
“Hahahah! Kau takut ye gemuk!”
“Zura.. Jangan Zura. Ini perkara biasa. Benda-benda ni semua kalau kau
masuk asrama semua orang kena, akak pun pernah kena.. Fikir baik-baik, Zura!”
“Habis bila kau belasah kawan aku ni, kau ada fikir baik-baik?!! Hanya
sebab senior kau dulu pernah jadi setan, kau nak ikut sama jadi iblis?!!”
Aku meluru laju ke arah Kak Eton. Dendam aku dah tak tertahan. Satu hayunan
terkena ke tangannya yang menghalang. Bunyi seperti kayu patah jelas
kedengaran. Dia menjerit menahan sakit.
“Sakit ye? Macam mana yang ni pula!” Satu lagi hentakan terkena kepalanya
yang tak sempat dilindung dek tangannya yang lemah menahan sakit. Aku tak puas
hati, hanya dengan mendengar nafas lelah dia, aku masih tak puas. Aku angkat
dan hayun sekali lagi kayu ditangan hanya untuk ditahan Kak Eton berkali-kali.
Makin lama makin kuat. Sampai berapa lama sahaja dia mampu bertahan, aku tunggu
peluang untuk tamatkan semuanya. Dia buka pertahanan tangannya yang lebam bersama kulitnya yang tebal yang akhirnya terkoyak menampakkan daging bersama retak tulang, mendedahkan wajah penuh kasihan, menangis ketakutan.
“Mampus kau, setan!!”
KRAKKK!! Kedengaran bunyi seperti sesuatu retak serentak rebahnya Kak Eton
ke lantai dengan mulut yang berdarah. Tepat ke kepala, dalam ke tengkorak impak
pukulan aku. Seperti isyarat untuk bangun, irama rebah badan gempal Kak Eton
mengejutkan aku ke alam realiti. Aku seperti baru tersedar dari dunia aku
sendiri. Aku menoleh ke arah Mira.
“Zura.. Kau buat apa ni..??” Terlukis wajah ketakutan Mira. Mukanya pucat
memandang aku. Seperti aku ini raksasa dimatanya.
“Rina! Rina, mana Rina!” Soalan yang tak mungkin berjawab oleh manusia
biasa disekeliling aku. Rina tiada ditempat dia tadi. Semua penghuni asrama
lain sudah mula menjauhkan diri. Ada yang menangis melihat apa yang sudah
berlaku. Kejam? Sebentar, apa dan siapa yang kejam? Aku menegakkan kebenaran. Aku
membasmi penindasan. Adakah ia kejam?
“Apa yang dah jadi ni?” Itu suara Cikgu Dina.
“Ya Allah! Zura, apa yang kamu buat ni!” Cikgu Fizah?
Warden kami, Cikgu Diana dengan Cikgu Fizah datang ke dorm yang menjadi
saksi kesemua tragedi yang baru terjadi. Aku nampak ada junior dan beberapa
senior yang mengiringi mereka. Apa yang kau orang buat? Panggil orang atas
sebab nak jatuhkan aku? Kau orang nak lindungi penjenayah ni?
“Zura, Zura... Hehehe!” Bisik di telinga. Rina!
Pusing aku kebelakang hanya untuk dihidangkan sinis senyum Rina. Dia kini berdiri
tegak dihadapan aku. “Rina, apa kau buat bisik kat telinga aku ni. Rina,
lihat.. Aku dah buat apa yang kau suruh. Ini balasan diorang kan? Kau kena tolong aku sedarkan diorang ni semua.”
“Hahahahahaha!”
Angin tiba-tiba meniup kuat dari segenap arah di dalam dorm. Katil dan
segala perabot bergegar bagai ada gempa bumi. Hilai tawa Rina semakin kuat.
Kali ini hilaiannya bergema disegenap dorm. Aku lihat rakan-rakan lain ada yang
pengsan, ada yang menjerit, dan ada yang membulat mata memandang jelmaan Rina. Cikgu
Fizah aku lihat menggigil ketakutan, menuding ke arah Rina yang wajahnya kini
dihuni calar dan darah. Senyumnya menyeringai menayangkan dua taring dan
barisan giginya yang tajam. Lidah bercabangnya menjelir menjalar seperti ular
mencari mangsanya. Mata kirinya kosong tanpa bebola mata, mata kanannya yang
merah tak henti mengalir darah. Rambutnya menggerbang, memutih, dan memanjang
sehingga ke paras kakinya yang sudah terapung meninggalkan bumi. Baju kurung
putihnya bermandi darah, nanah, dan kotoran tanah.
“Aku seronok bermain dengan kau Zura. Terima kasih sebab jadi permainan dan
mangsa mudah untuk aku.. lain kali, kita main sama lagi ye. Hehehehehehe!”
Aku tak mampu berkata apa lagi. Sejurus selepas itu, angin kuat menghembus
buat kali terakhir bersama bau hanyir dan busuk tak tergambar. Sekelip mata,
Rina lesap begitu sahaja. Aku berpusing memerhati sekeliling. Mata-mata
penghuni asrama yang lain masih memandang tajam kearah aku, sambil yang lain
cuba membangunkan rakan-rakan yang masih pengsan. Cikgu Diana, Mak Cik Fizah
dan pelajar senior bergegas ke arah aku yang masih terkedu. Antara menyesal,
bersalah, dan terkilan.
Aku tak sangka, syaitan yang aku bersimpati dan layan dengan baik, memanipulasi
aku dengan hasut amarah dan dendam. Aku biarkan emosi jadi raja, rasional jadi
korban, darah jadi santapan.
“Zura, walau apa pun alasan kamu. Apa yang kamu lakukan keatas Zaitun dan
Aisyah adalah salah! Cikgu kena bawa kamu ke balai dan bawa sekali ibu kamu,”
tangan aku dipegang kemas. Diperlaku aku seperti seorang penjenayah, aku dibawa
keluar dari dorm diiringi pelajar senior lain. Kak Eton, Kak Ecah, aku tak tahu
apa nasib mereka berdua. Aku pula, akan menunggu masa untuk diadili, atau
mungkin dijatuhkan hukuman.
Dunia kejam? Atau aku yang tak faham?
Di luar pagar asrama aku menoleh kembali kebangunan yang menjadi titik
permulaan jenayah juvana aku. Mata aku membulat memandang figura di atas
bumbung asrama, Rina menyeringai senyum memandang aku. Betul lah apa orang tua
kata, mereka semua hanyalah jelmaan syaitan. Katanya kawan, tapi musuh dalam
selimut. Dendam mereka membara, sejak moyang Adam.
“Selamat mencari jalan pulang. Apa Tuhan akan ampunkan dosa-dosa kau?
Berharaplah, Zura. Hehehehe!”
Habis dah cerpen ni. Maaf kalau tak seram mana pun tapi yuyin suka tekankan pengajaran dalam cerpen ni bukan hanya kisah seram semata-mata. Btw, korang nak tengok cerita yang lagi seram? Ni haa ada cerita seram yang korang wajib tengok yang bakal ditayangkan tak lama lagi!
"Volkswagen Kuning" terbitan MIG di pawagam 22 Septermber 2016 #OppoF1s #SelfieExpert |
Babak di dalam "Volkswagen Kuning" #1 |
Babak di dalam "Volkswagen Kuning" #2 |
Babak di dalam "Volkswagen Kuning" #3 |
Babak di dalam "Volkswagen Kuning" #4 |
Babak di dalam "Volkswagen Kuning" #5 |
Babak di dalam "Volkswagen Kuning" #6 |
Babak di dalam "Volkswagen Kuning" #7 |
Babak di dalam "Volkswagen Kuning" #8 |
Babak di dalam "Volkswagen Kuning" #9 |
Babak di dalam "Volkswagen Kuning" #10 |
Babak di dalam "Volkswagen Kuning" #11 |
Trailer filem "Volkswagen Kuning" 22 September 2016:
Behind the Scene filem "Volkswagen Kuning":